返回总目录
SEPATAH KATA
SEPATAH KATA
Kitab Zabur, yang telah diwahyukan kepada Nabi Daud khususnya, telah banyak membawa
ketenangan jiwa kepada insan zaman-berzaman. Oleh itu, di dalam buku kecil ini kami
mengumpulkan 31 petikan dari Kitab Zabur untuk anda tatap dan resapkan ke dalam hati serta
hayat anda. Selepas setiap petikan itu, kami coretkan sebahagian perutusannya untuk
direnungi.
Anda boleh membaca satu petikan setiap hari. Di samping itu, apabila anda merasakan
sesuatu keperluan yang mendesak, carilah petikan yang sesuai dengannya.
Mungkin anda menghadapi pancaroba dalam hidup, dianiayai oleh orang yang menaruh hasad
dengki, ditindas oleh insan durjana yang angkuh. Mungkin juga anda telah tergoda melakukan
sesuatu kesalahan, lalu terseksa oleh hati nurani sendiri, terasa dimurkai oleh
Allah, disingkirkan-Nya seolah-olah anda telah lenyap daripada ingatan-Nya.
Atau, mungkin anda telah diselamatkan oleh Allah daripada bencana. Mungkin anda telah
bertaubat daripada dosa dan seluruh jiwa anda merasakan rahmat pengampunan Allah.
Mungkin anda merasa bahagia dan ingin bersorak-sorai memuji kebesaran Allah dan
bersyukur kerana kasih sayang-Nya yang abadi.
Kitab Zabur merupakan curahan jujur segala perasaan ini serta pelbagai warna rasa yang
lain. Semoga anda akan mendapat pedoman rohaniah yang mendalam daripadanya.
Melalui petikan-petikan ini, mudah-mudahan anda akan dapat merasa lebih damping dengan
Allah. Semoga anda akan lebih yakin mencurahkan segala yang terpendam dalam hati kepada
Allah yang sentiasa mengerti, mengampuni, membimbing dan menyayangi.
Allah berkati anda!
Undur | Mara
Untuk maklumat lanjut, sila tulis ke alamat berikut:
- Straight Path
Box 132, Bangkok 10501, Thailand