返回总目录
Siapa Kata Al-Kitab Telah Diubah?
Siapa Kata Al-Kitab Telah Diubah?
Oleh Hans Wijngaards
Diterbit 1985
Apabila umat Kristian memetik daripada Injil, umat Muslim
seringnya menegur :
- Nas yang kamu membaca itu bukanlah Injil yang benar.
Injil Isa al-Masih yang asli itu sudah pun hilang.
Generasi Kristian yang lampau telah memalsukan Kitab suci
kamu, jadi, pada hari ini Kitab kamu tidak berguna lagi.
Pra-sangka ini begitu meyakinkan bagi para Muslim sehingga
ianya menggugat perhubungan dan apa-apa komunikasi yang bermakna
di antara mereka dan saudara-saudara Kristian mereka.
Bagaimanakah umat Kristian dapat menjelaskan pemahaman dan akidah
mereka mengenai Hazrat Isa al-Masih apabila para Muslim yakin
bahawa 'Injil yang asli' menggambarkan Hazrat Isa yang berlainan?
Dakwaan itu sentiasa ditonjolkan bahawa "Kamu umat Kristian
bergantung kepada Kitab-kitab yang sudah dipalsukan."
Dakwaan-dakwaan ini ada juga terdapat pada bahan-bahan
bercetak. Tidak berapa lama dahulu sebuah buku berjudul
"Jesus Prophet of Islam" (Isa Nabi Islam) telah
diterbitkan. Sejajar dengan ajaran Islam, penulisnya mendakwa
bahawa Hazrat Isa telah mengemukakan diri-nya hanya sebagai
seorang Rasul dan dia tidak mati disalib (beliau telah
diselamatkan oleh sekumpulan malaikat), bahawa dia telah
'menyebut tentang kedatangan Muhammad'. Akidah umat pada Kristian
hari ini adalah satu penyelewengan yang telah diperkenalkan
dengan sengajanya pada tahun-tahun selepas kebangkitan Hazrat
Isa. Dan pembidaah-pembidaah ini, si penulis terus mendakwa,
sanggup 'mengudungkan' kitab suci mereka. Malah mereka juga telah
memperkenalkan tulisan-tulisan palsu bagi menyokong ajaran-ajaran
mereka.
- "Buku-buku yang mengandungi ajaran-ajaran Hazrat Isa
itu telah dimusnahkan, sengaja ditumpaskan atau diubah
bagi mengelak apa-apa percanggahan dengan ajaran baru
mereka.Ajaran yang asli itu telah mengalami perubahan
secara menyeluruh dan telah hilang selama-lamanya sama
sekali."
Tidak puashati dengan menjatuhkan hukuman umum itu, si penulis
cuba menunjuk kepada satu titik permulaan 'tepat' bagi 'proses
pemalsuan itu'.
- "Pada 325 Tahun Masihi, Sidang Nicea yang terkenal
itu telah bersidang. Ajaran Tritunggal telah
diisytiharkan sebagai ajaran rasmi bagi 'Gereja Pauline'
dan salah satu daripada akibatnya ialah daripada lebih
kurang tiga ratus 'Injil' yang wujud pada masa itu, hanya
empat telah dipilih sebagai 'Injil rasmi' gereja. Yang
bakinya termasuk 'Injil Barnabas' diperintahkan untuk
dimusnah. Satu lagi perintah telah dikeluarkan yang
menyatakan bahawa sesiapa yang dijumpai memiliki Injil
tidak rasmi itu akan dihukum mati. Ini adalah detik-detik
awal percubaan secara teratur bagi menghapuskan segala
catitan dan rekod ajaran Isa al-Masih, baik di dalam
manusia mahupun di dalam buku-buku."1
Bagi mereka yang fasih dengan hakikat-hakikat sejarah,
tuduhan-tuduhan dan dakwaan seperti di atas dengan mudah sekali
dapat ditolak. Apakah yang boleh dikata kepada mereka yang
percaya bahawa kota London terletak di negeri Libya? Akan tetapi
bukanlah semudah bagi para Kristian yang kurang mempelajari
teologi atau pun sejarah gereja. Mereka mungkin kurang pasti apa
jawapan sepatutnya diberikan kepada tanggapan dan prasangka
saudara-saudara Muslim mereka.
Bagi pihak merekalah, saya akan senaraikan beberapa
fakta-fakta dan hujah-hujah yang menunjukkan Injil pada hari ini
tidak mengalami perubahan. Tetapi ianya berguna untuk menanyakan:
Dari manakah para Muslim memperolehi tanggapan ini bahawa Injil
Kristian telah diubah?
Bermulanya satu mitos (cerita dongeng)
Dalam al-Qur'an umat Muslim diperintahkan untuk menghormati
Injil Isa-al-Masih yang dibaca oleh umat Kristian. Al-Qur'an
menganggap Injil yang dimiliki oleh umat Kristian pada hakikatnya
sama dengan yang telah diisytiharkan oleh Hazrat Isa.2
'Dalam empat abad yang pertama selepas wafatnya nabi Muhammad
(600-1000 TM) tidak ada satu pun ahli Ulamak yang membawa tuduhan
bahawa nas-nas Kitab Injil bukan sahih. Mereka mungkin menuduh
para Kristian memberi salah-tafsiran kepada
perkataan-perkataannya; tetapi mereka tidak mempertikaikan
perkataan-perkataan itu sendiri. Kajian ke dalam apologetik Islam
telah membuktikan bahawa tuduhan 'pemalsuan' ini telah hanya
bermula dengan seorang tokoh Islam, Ibn-Khazem(*)
yang meninggal dunia di Kordoba pada 1064 T.M.'3
Ibn-Khazem telah memerintah di selatan Andalus(Sepanyol)
sebagai wazir kepada khalifah. Dia telah keluar berperang banyak
peperangan saudara bagi pihak khalifah. Dia juga melibatkan diri
di dalam perbincangan-perbincangan polemik agama dan teologi. Dia
memegang kepada fahaman Zahiri dan telah menentang ahli Shi'a
dengan setegas-tegasnya. 'Di dalam kedua-dua jurusan politik
mahupun hal hal keagamaan, dia bersikap pahlawan yang sangat
tegas. Sesiapa yang berani menentangnya akan mencederakan dirinya
umpama dihentam oleh batu karang. Penanya sehebat sebilah pedang
pahlawan.' Oleh kerana sifatnya yang terlalu taasub Ibn Khazem
telah gagal menarik murid-murid kepada dirinya, tetapi
penulisannya amat berpengaruh pada masa yang akan datang.4
(*)
nama penuhnya: Abu Muhammad Ali bin Ahmad ibn-Khazem(994 - 1064
T.M.)
Semasa perjuangannya menentang para Kristian, Ibn Khazem telah
terserempak dengan beberapa percanggahan di antara al-Qur'an dan
al-Injil. Satu contoh yang jelas ialah nas al-Qur'an
"Padahal bukanlah mereka membunuhnya dan bukan pula
menyalibnya" (Q.4:156). Pada hemat Ibn Khazem : "Qur'an
seharusnya dianggap benar, jadi ajaran Injil yang bercanggah
dengan al-Quran ini adalah salah. Tetapi nabi Muhammad telah
menyuruh umatnya supaya menghormati Injil, oleh itu, nas-nas
al-Kitab itu telah dipalsukan oleh umat Kristian."
Tanggapannya ini tidak berdasarkan kepada hakikat-hakikat
sejarah, tetapi hanya di atas pendapat dan hemat Ibn Khazem
semata-mata, dan juga pada hasratnya untuk menjaga kebenaran
al-Qur'an.5 Setelah dia memutus untuk
mengambil jalan ini, tiada sebarang daya yang dapat menghentikan
Ibn Khazem mengejar keazamannya. Nampaknya cara yang paling mudah
ialah untuk serang dan mengecam musuh-musuhnya. "Kalau kita
dapat membuktikan kepalsuan Kitab mereka, semua bantahan-bantahan
mereka akan kehilangan apa-apa kewibawaan."6
Ini telah mendorongnya membuat pernyataan sinis "Umat
Kristian telah kehilangan Injil yang telah diwahyukan bagi mereka
kecuali segelintir yang dibenarkan oleh Tuhan sebagai satu
kesaksian untuk menentang mereka."7
Penulis-penulis seterusnya telah memeluk dan memperkembangkan
tanggapan ini. Pemalsuan Al-Kitab terus didakwakan oleh Salikh
ibn-al-Khusain (meninggal dunia 1200 TM), Ahmad at-Qarafi
(meninggal dunia 1285 TM), Sa'id ibn-Khasan (1320 TM), Muhammad
ibn-Abi Talib (1327 TM), ibn-Taimija (1328 TM) dan lain-lain.
Sejak itu dakwaan dan tanggapan ini telah menjadi bahan tetap
dalam 'resipi' polemik Islam menentang syiar Kristian.
Penulis-penulis ini telah mendakwa Maharaja Konstantine dan
Paulus sebagai pemalsu-pemalsu yang utama. Watak Konstantine yang
telah dikelirukan oleh penulis-penulis ini (kononnya beliau telah
melibatkan diri dalam Sidang Nicea) dipersalahkan oleh kerana
kononnya dia telah merekakan cerita penyaliban Hazrat Isa bagi
sebab-sebab politik dan dialah menghadkan catatan-catatan Injil
kepada empat jilid. Mengenai Paulus pula, banyak lagi cerita yang
tidak masuk akal telah direkakan oleh mereka. Menurut satu
cerita, Paulus adalah seteru utama kepada umat Kristian dan ingin
sangat untuk menghapuskan ajarannya. Usaha awalnya melalui
kekerasan dan kezaliman tidak berjaya, jadi dia mencuba helah
lain iaitu dengan 'berpura-pura' memeluk akidah Kristian termasuk
dibaptiskan. Tujuannya ialah bagi merosakkan ajaran Kristian dari
dalam. Untuk memperkukuhkan lagi kesan pemelukan akidah
Kristiannya itu, Paulus ingin dikenang sebagai seorang yang telah
bermati syahid bagi ugama Kristian. Jadi, dia telah reka cerita
bahawa Hazrat Isa telah menjelma kepadanya pada suatu malam dan
menyuruhkannya pergi mengorbankan diri di kaki sebuah gunung.
Pada hari sebelum kematiannya kononnya Paulus telah memanggil
tiga orang raja Kristian yang utama dan menyampaikan kepada
setiap satu wahyu rahsia yang berlainan. Kepada yang pertama
diberinya 'wahyu' Al-Masih itu adalah Anak Tuhan, yang kedua
diberi 'wahyu' Siti Maryam itu isteri Tuhan dan yang ketiga pula
ialah Tuhan itu adalah 'tiga'. Apabila matahari terbit pada pagi
seterusnya maka keluarlah Paulus dengan berkain selubung berwarna
kelabu dan membawa sebilah pisau. Dan beliau telah menikam
dirinya sehingga mati dengan tangannya sendiri. Orang ramai yang
menyaksikannya kagum dan menganggap dia sebagai seorang pesuruh
Tuhan. Inilah cerita kononnya bagaimana umat Kristian telah
terima ajaran-ajaran serong mereka dan telah dibahagikan kepada
mazhab-mazhab yang berlainan8.
Menurut cerita-cerita lain Paulus adalah seorang raja Yahudi,
atau seorang biarawan di kota Roma 150 tahun selepas Hazrat Isa
al-Masih. Semua cerita-cerita ini bersetuju dengan dakwaan bahawa
beliau ialah seorang yang telah membuat pemalsuan dengan licik,
dan 'telah berpura-pura memeluk agama Kristian supaya dapat
merosakkan agama itu dari dalam.'
Dongeng-dongeng ini mengenai raja Konstantin dan Paulus
berasal daripada campuran sumber-sumber anti-Kristian Yahudi,
legenda-legenda Parsi dan tulisan-tulisan Marcion.9
Untuk membuktikan bahawa cerita-cerita ini tidak mempunyai
kesahihan sejarah bukan menjadi satu perkara yang rumit. Paulus
hidup dari 5 TM ke 67 TM, beliau memperkembangkan ajaran yang
sama dengan Hawariyun-hawariyun yang lain dan dia telah mengarang
kebanyakan daripada warkah-warkah dalam kitab Perjanjian Baru.
Konstantin ialah Maharaja Roma dari 312 - 337 TM. Beliau telah
membenarkan umat Kristian mengamalkan agama mereka dengan aman.
Konstantin tidak mereka cerita penyaliban Hazrat Isa atau cuba
membuat pindaan kepada Kitab Injil. Sidang Nicea yang bersidang
dari 20 Mei ke 25 Ogos tahun 324 TM tidak mengeluarkan apa-apa
perintah tentang tulisan-tulisan 'apocrypha'. Seramai 300
uskup-uskup yang berjemaah di sana telah berbincang tentang
pentafsiran dan pemahaman nas Al-Kitab dan BUKAN tentang isi
kandungan Al-Kitab itu sendiri. Semua pemimpin-pemimpin Kristian
di Jemaah itu mempunyai persetujuan penuh mengenai nas Al-Kitab
dan kesahihannya pada masa itu. Semua ini adalah hakikah-hakikah
sejarah yang nyata.
Kalau kita mengetahui apa yang menyebabkan sesuatu penyakit,
itulah langkah pertama untuk mencari ubatnya. Umat Islam
seringkali membaca tulisan-tulisan dan karya-karya mereka sendiri
yang hanya mengulangi dakwaan-dakwaan lama mereka terhadap ajaran
Kristian sehingga hanya itulah yang meyakinkan mereka. Seekor
katak yang hidup di dalam perigi boleh yakin ia telah mengalami
lautan. Apakah jawapan kepada jalan buntu ini? Untuk benar-benar
mencapai kemajuan dalam proses berdialog yang ikhlas, kedua-dua
para Muslim mahupun Kristian sewajarnya mengabaikan dan
melepaskan prasangka-prasangka,salah tafsiran dan tanggapan lama
mereka masing-masing terhadap Kitab-kitab suci mereka dan
mengkaji fakta-fakta objektif dengan teliti dan dengan fikiran
yang terbuka.
Teks al-Injil
Ini membawa kita kepada penilaian teks Injil sendiri. Bolehkah
kita menemui teks-teks asal dan menentukan ketepatan kata-kata
yang diilhamkan Tuhan itu yang telah dicatat di antara 50 dan 90
TM? Banyak saintis-saintis dan para ilmuan yang lain telah
menumpukan tenaga dan kehidupan mereka bagi memperoleh jawapan
kepada soalan ini. Pengkajian 'text criticism' telah membuat
penelitian yang begitu rapi kepada banyak penulisan-penulisan
yang kuno dan lama; di antaranya buku-buku Perjanjian Baru (New
Testament). Saya akan cuba menjelaskan dalam perenggan-perenggan
berikut proses ini yang sebenarnya satu kaedah yang cukup rumit
dan teliti.
Pada zaman Hazrat Isa al-Masih semua buku-buku dan surat-surat
kena ditulis dengan tangan. Apabila semua tulisan-tulisan
Perjanjian Baru telah sempurna dicatat, mereka hanya dapat
diperkembangkan kepada jemaah-jemaah Kristian di merata tempat
dengan mengambil catitan-catitan yang telah sempurna ditulis.
Jenis surat ini digelar 'manuskrip'(dr.bahasa Latin yang
bermaksud 'ditulis dengan tangan'). Bahan yang digunakan pada
masa itu ialah 'papyrus', sejenis kertas berkualiti rendah yang
disediakan daripada sejenis buluh. Oleh kerana kitab-kitab suci
sering digunakan -semasa pembacaan peribadi ataupun semasa
Sembahyang Ahad, manuskrip-manuskrip terawal itu mudah menjadi
luntur dan susuh, dan kena diganti dengan catitan-catitan
manuskrip yang baru.
Pada abad keempat tahun Masehi, sejenis bahan yang lebih tahan
lasak telah dijumpai, iaitu kertas kulit(parchment). Kertas kulit
ini dibuat daripada jalur-jalur kulit kambing atau biri-biri yang
telah dikikis, disamak dan dijahit rapi untuk dijadikan gulungan.
Kulit gulungan ini semestinya lebih mahal untuk dihasilkan, akan
tetapi keistimewaannya ialah satu bahan yang amat susah untuk
dimusnahkan. Sedikit demi sedikit lebih banyak buku-buku
Perjanjian Baru dicatit di atas gulungan-gulungan kulit tersebut,
yang diberi nama 'Kodis(codice)' atau buku-buku dimana
kepingan-kepingan kulit disusun satu demi satu sama seperti buku
yang ada pada hari ini. Ada juga kemajuan dalam bidang penulisan.
Pada abad pertama T.M. setiap huruf bahasa Yunani mengunakan
huruf besar (tulisan Majuskul). Lepas itu satu jenis yang berbeza
telah muncul (tulisan Miniskul). Apabila para ahli sains
menjumpai manuskrip yang lama, mereka cuba menentukan umur
dokumen itu. Lepas itu, mereka akan menyalin teksnya dengan
sebaik-baiknya dan mengkaji segala ciri-ciri catatan itu.
Teks-teks yang telah dibaik-pulih dari sesuatu manuskrip itu akan
dibandingkan dengan teks-teks lain yang telah dijumpai.
Untuk membuat pengkajian tulisan-tulisan Perjanjian Baru,
ahli-ahli sains mempunyai banyak sekali bahan-bahan sejarah. Ada
tidak kurang daripada 4,680 buah naskhah yang ditulis di dalam
bahasa Yunani (Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Yunani). 68
buah daripada mereka adalah dalam bentuk papyri, 241 adalah dalam
salinan bentuk majuskul, 2,533 adalah salinan miniskul dalam
gulungan kulit (parchments) dan terdapat 1,838 koleksi
petikan-petikan nas Al-Kitab bagi ibadat hari Ahad.
Ada juga lebih daripada 6,000 naskhah terjemahan dalam
bahasa-bahasa lama seperti bahasa bahasa Latin, Syria, Koptic
Mesir, Eropah tengah (Gothic), Armenia, Habsyah, Georgia, Arab
Nubia, Parsi dan Slav.
Sumber ketiga bagi tujuan perbandingan ialah petikan-petikan
Kitab suci yang terdapat pada lebih dari 220 tokoh-tokoh dan
pemimpin gereja awal (church Fathers) dan para ulama-ulama
Kristian.
Ada di antara naskhah-naskhah tersebut yang sangat tua. Salah
satu daripada koleksi papyrus dikenali sebagi 'P52' mengandungi
sebahagian daripada Injil yang dicatit oleh Yahya-seorang
Hawariyun dan murid Hazrat Isa al-Masih. Tarikhnya telah
ditetapkan pada 130 T.M., yakni salinan Injil ini tidak melebihi
empat puluh tahun selepas catatan asalnya. Satu lagi contoh
salinan Injil yang sahih ialah Kodeks Sinaiticus yang telah
disalin pada tahun 350 T.M. di Mesir. Sebanyak 347 muka suratnya
telah dipelihara dan ini pula menjangkau lebih kurang keseluruhan
jangka masa Perjanjian Baru. Dengan membandingkan tulisan
manuskrip tersebut boleh disimpulkan bahawa tiga orang penyalin
telah mengusahakannya.
Ciri-ciri dalil-dalil itu
Untuk membandingkan ribuan naskhah-naskhah ini dan
sumber-sumber lain yang menjangkau jangka masa lebih kurang dari
abad kedua sehingga abad keempat-belas merupakan satu tugas yang
amat berat. Tetapi ia telah dilakukan! Proses penyalinan yang
telah berulang-ulang dari abad ke abad telah menyebabkan
penyerapan beberapa perbezaan yang kecil kepada teks-teks. Ini
dikenali sebagai 'perbezaan bacaan'. Sekali terjadinya suatu
perbezaan kecil ini kepada kandungan sesuatu teks, ia akan
'diwarisi' oleh naskhah-naskhah yang telah disalin daripadanya.
Dengan menganalisis semua perbezaan-perbezaan kecil ini, ahli
sains telah dapat mengumpulkan banyak naskhah-naskhah kepada
beberapa kelompok utama dan daripada ini dapat mengesan bahawa
semua naskhah-naskhah tersebut telah berpunca daripada sumber
yang sama. Dalam cara begini, versi-versi teks yang paling awal
dapat dikesan dan dibentuk semula dengan rapi dan sangat tepat.
Kita dapat mengesahkan bentuk dan keadaan teks pada penghujung
abad yang ketiga T.M. mengikut empat aliran transmisi iaitu
Iskandariah, Barat, Kaisari dan Antiokus. Dengan proses
ekstrapolasi ke lebih dalam lagi mengenai sejarah teks-teks itu,
kita dapat tentukan teks yang asal bagi semua teks-teks tersebut.
Hasilnya semua penyelidikan dan kajian-kajian ini ialah
kesahihan dan kewibawaan teks Perjanjian Baru telah dikukuhkan
kedudukannya tanpa apa-apa keraguan lagi. Kita dapat menentukan
hakikat dengan muktamad bahawa teks yang ada pada kita hari ini
adalah sama dengan teks Perjanjian Baru yang asal.10
Untuk menyatakannya secara yang kuantitatif pula: kesan
perbezaan-perbezaan kecil yang telah menyerap kedalam teks dalam
proses penyalinan selama berabad-abad ini ialah hanya kepada satu
perpuluhan lima peratus jumlah teks asal (yakni sepatah perkataan
bagi setiap enam puluh patah perkataan); dan tiada membawa
apa-apa kesan pengajaran atau pun perbezaan kepada akidah
Kristian pada hari ini. Sebanyak sembilan puluh lapan perpuluhan
lima peratus teks Alkitab mempunyai dasar sahih yang kukuh yang
tidak dapat dipertikaikan.
Ini membuktikan bahawa teks itu tidak dipalsukan.
Sesungguhnya, kalau ada seseorang yang ingin cuba membuat suatu
pemalsuan, muslihat ini dapat dikesan dengan mudahnya. Cubalah
fikirkan satu senario di mana seorang pemilik Bank yang kaya di
Singapura telah menulis surat wasiatnya yang menghuraikan
bagaimanakah harta bendanya akan dibahagikan selepas lima puluh
tahun yang akan datang. Orang kaya ini mempunyai lima orang anak
dan setiap satu daripada mereka telah menyalin satu salinan surat
wasiat tersebut masing-masing. Setiap satu di antara mereka telah
membawa salinan surat masing-masing semasa berhijrah ke lima
tempat yang berlainan di dunia iaitu London, Cape Town, Los
Angeles, Sydney dan Rio de Janeiro. Setiap orang anak orang kaya
tersebut telah mempunyai lima orang anak masing-masing dan mereka
pula telah membuat salinan surat wasiat yang asal itu. Cucu-cucu
orang kaya ini pun telah memperolehi lima orang anak mereka
masing-masing dan mereka juga telah membuat salinan surat wasiat
datuk mereka bagi anak-anak mereka. Pada suatu hari, pemilik bank
yang kaya di Singapura itu telah kehilangan surat wasiatnya yang
asal, dengan membandingkan salinan-salinan yang banyak yang telah
dibuat oleh anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit pemilik itu di
seluruh dunia, Surat wasiat yang asal itu dapat disahkan. Kalau
mana-mana anak atau cucu si orang tua itu ingin membuat pindaan
kepada teks Surat yang asal itu, pemalsuannya itu akan didedahkan
serta-merta kerana berbeza dengan salinan-salinan surat asal yang
sudah ada!
Dalam cara yang sama, mana-mana percubaan memalsukan teks
Al-Injil akan didedahkan dengan serta-merta kerana percanggahan
dan perbezaannya dengan beribu-ribu salinan teks asal yang ada.
Raja Ashoka yang beragama Buddha telah memerintah di India
dari 273 S.M. ke 240 S.M., dia telah mengumumkan suatu
perlembagaan berlandaskan perikemanusiaan yang unik. Dia perintah
supaya perlembagaannya itu diukir pada tempat-tempat umum di
empayarnya saperti batu-batan besar, tiang-tiang dan
tembok-tembok gua. Lebih kurang tiga-puluh lima ukiran-ukiran
tersebut dijumpai dan telah dibaik-pulih.
Oleh sebab itu kita dapat mengesahkan kandungan perlembagaan
Raja Ashoka yang asal. Walaupun seorang daripada
pengukir-pengukir itu cuba meminda teks asal Ashoka untuk
memperdayakan kita, pemalsuan itu dapat dibuktikan dengan
membandingkan ukiran-ukiran lain yang ada.
Injil merupakan perlembagaan bagi gereja yang awal.
Beribu-ribu salinannya telah dibuat daripada teks asalnya dari
awal lagi, kalaulah kononnya suatu pemalsuan telah berlaku, tentu
sekali ia dapat didedahkan dengan mudah.
H.K.Moulton yang telah menyelidiki dan mengkaji
manuskrip-manuskrip Injil lebih daripada empat puluh tahun, boleh
dipetik bagi memberi kesimpulan bagi hakikat ini. Dia telah
mencapai kesimpulan bahawa perbezaan-perbezaan kecil di antara
beberapa teks tidak membawa kesan yang buruk kepada mana-mana
ajaran-ajaran Kristian. Katanya lagi:
- "Setelah semua dokumen-dokumen ditapis dan diteliti
serapi-rapinya didapati bahawa pada dasarnya mereka
adalah secocok
"
Tidak ada buku yang telah diteliti dan diselidik dengan
sehebatnya buku-buku Perjanjian Baru. Tiada mana-mana pemalsuan
yang dapat tahan pengujian dan penyelidikan sedemikian rupa (yang
telah diadakan terhadap buku-buku Perjanjian Baru). Kita boleh
meyakini Kitab-Asal yang ada pada kita (hari ini), ia telah
dikenakan pengujian yang runcing tetapi ini tidak dapat
mengemukakan apa-apa kelemahan padanya.11
Penjaga-penjaga Ajaran.
Jadi, telah dibuktikan di atas bahawa umat Kristian dari
awal-awal lagi telah memelihara dengan setia ajaran-ajaran yang
diterima mereka daripada Isa al-Masih. Ini pula bukanlah perkara
yang menghairankan. Pengikut-pengikutnya amat mengutamakan
pemeliharaan mutiara-mutiara rohani yang telah dianugerahkan
mereka oleh Tuhan. Seawal T.M. 50 Paulus telah menulis:
"Saudara-saudaraku, kamu harus tetap percaya dan berpegang
kepada ajaran-ajaran yang telah kami sampaikan
"(2
Tesalonika 2 ay.15). "Sentiasa mengikut ajaran yang aku
berikan kepada kamu (1 Korintus 11 ay.2). "Apa yang aku
sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah
perkara terpenting: Al-Masih mati kerana dosa kita, sesuai dengan
yang tertulis di dalam AlKitab
Dia dikuburkan dan pada hari
ketiga Dia dihidupkan semula
Kami semua mengisytiharkan
perkhabaran yang sama dan maku semua percaya
kepadanya
Berita Baik itu akan menyelamatkan kamu jika kamu
berpegang kepadanya dengan teguh (1 Korintus 15:3-4,11,2).
Umat Kristian yang terawal amat mementingkan apa-apa yang
telah dikatakan dan dilakukan oleh Isa Al-Masih. Orang-orang
Yunani dan Roma telah mengikut taraf yang agak tinggi di dalam
penulisan-penulisan sejarah. Mereka tahu ini memerlukan mereka
melapurkan fakta-fakta yang objektif, yang dapat dibuktikan oleh
saksi-saksi dan dokumen-dokumen yang asal.
Para ilmuan moden telah memutus bahawa beberapa ahli-ahli
sejarah pada masa kuno boleh diyakini dan dipercayai dalam
tulisan-tulisan mereka. Herodotus, Thucydides, Polybius dan
Tacitus adalah cemerlang dalam bidang ini; Josephus,
Kaisar(Caesar), Polynius dan Livy adalah boleh diyakini. Walaupun
mungkin ada di antara mereka yang cuai, umat Kristian yang awal
itu akur kepada peraturan dan cara-cara mencatat rekod-rekod yang
benar dan sahih.12 Oleh itu, kita
seharusnya menerima dengan serius kenyataan Lukas bahawa dia
telah merujuk kepada saksi-saksi (Lukas 1 ay.2) dan seterusnya
bersambung: "Saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa
itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu
laporan yang teratur untuk Tuan..supaya Tuan dapat tahu dengan
selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada Tuan memang
benar." (Lukas 1 ay.3-4). Umat Kristian secara lazimnya
telah sentiasa ingin mengetahui kebenaran sepenuhnya segala-gala
yang telah diajari kepada mereka.
Satu Permulaan Baru
Umat Kristian dan Muslim berkongsi banyak kepercayaan yang
sama. Tuhan yang maha Esa, Pencipta segala-galanya dan Punca
segala wahyu-wahyu. Hakim yang penyayang; yang akan menghukum
penjahat dan menganjarkan mereka yang salih. Pada masa kini
apabila fahaman materialisme menonjol-nonjolkan kepalanya yang
berpengaruh di seluruh dunia, amatlah penting dan mustahak supaya
semua ahli-ahli Kitab menekankan bidang-bidang yang dikongsikan
bersama-sama di antara mereka dan bukanlah perbezaan-perbezaan
yang membawa kepada percanggahan dan perselisihan sesama sendiri.
Ini bermakna bahawa prasangka-prasangka yang tidak berasas di
kedua-dua pihak seharusnya dijatuhkan. Pada bulan Februari 1976,
seramai 1,200 para rombongan daripada enam puluh buah negara
mengambil bahagian di dalam satu Seminar 'Dialog Islam-Kristian'.
Para Kristian disitu telah memohon peserta-peserta Muslim supaya
mengenal dan mengkaji Perjanjian Baru secara lebih terbuka dan
mendalam dan untuk menjatuhkan tuduhan 'pemalsuan' terhadap
mereka. Untuk berdialog memerlukan kedua-dua pihak menerima
kesahihan Kitab-kitab suci mereka masing-masing.13
Sesungguhnya kebanyakan tokoh dan pemikir-pemikir Islam yang
agung telah menerima kesahihan teks Injil dan Perjanjian Baru.
Untuk menghuraikan nama-nama mereka disini merupakan penutup yang
sesuai bagi karangan ini. Kesaksian mereka membuktikan bahawa
dialog di antara para Muslim dan Kristian tidak usah dibelenggui
oleh tuduhan yang telah dipelopori oleh Ibn-Khazem. Dua ahli
sejarah Islam yang agung, Al-Mas'udi (meninggal 956 T.M.) dan
Ibn-Khaldun (meninggal 1406 T.M.) telah memegang kepada kesahihan
teks Al-Injil. Empat orang ahli ulamak yang terkenal pun telah
menyetujui hakikat ini: Ali at-Tabari (meninggal 855 T.M.), Qasim
al-Khasani (meninggal 860 T.M.), 'Amr al-Ghakhiz (869 T.M.) dan
tokoh yang terutama, imam Al-Ghazzali (1111 T.M.).14
Pandangan ini pula disokong oleh Abu Ali Husain Ibn Sina, lebih
dikenali di Barat sebagai 'Avicenna' (m. 1037 T.M.). Al-Bukhari
(m.870 T.M.) yang terkenal kerana mengumpulkan hadith-hadith yang
terawal, telah memetik daripada Al-Qur'an sendiri (Surah
Ali-Imran 3 ay.72,78) bagi membuktikan bahawa teks Al-Kitab
Al-Mukaddis tidak pernah dipalsukan.15
Akhir kata, seorang tokoh Muslim terkemuka di zaman moden,
Muhammad Abduh Sayyid Ahmad Khan, seorang 'ulamak Islam moden'
yang telah menerajui pembaharuan sosial pada era moden ini, telah
menerima keputusan-keputusan sains moden. Beliau telah berkata:
- "Bersabit dengan teks Al-Kitab (Bible), ia tidak
mengalami apa-apa perubahan. Juga tiada sesiapa yang
dapat mengemukakan sesuatu teks (alternatif) yang berbeza
sebagai teks yang sahih".16
Bersyukurlah kepada Tuhan kerana kesaksian tokoh-tokoh yang
jujur ini!
NOTA-NOTA
1. MUHAMMAD ATA UR-RAHIM, Jesus Prophet of
Islam, Omar Brothers Publications, Singapore 1978, ms. 12, 15 and
40.
2. G. PARRINDER, Jesus in the Qur'an, Faber
and Faber, London 1965, bab 15.
3. P. A. PALMIERI Die Polemik des Islams,
German tr. Holzer, Salzburg 1902; E. FRITSCH, Islam und
Christentum im Mittelalter, Müller & Seiffert, Breslau 1930;
see also. H. HIRSCHFELD, `Muhammadan Criticism of the Bible'.
Jewish Quarterly Review 13 (1901) 222-240.
4. F. M. PAREJA, Islamologia, Orbis
Catholicus, Roma 1951, ms. 460-461.
5. I. DI MATTEO, `Il "takhrif" od
alterazione della Bibbia secondo i musulmani', Bessarione 38
(1922) 64-111; 223-260; `Le preteze contradizzioni della S.
Scrittura secondo Ibn-Hazm', Bessarione 39 (1923) 77-127, E.
FRITSCH, op. cit., ms. 66.
6. IBN KHAZEM, Kitab al-fasl fi'l-milah wa'l
ahwa'l nikhal, II,6; E. FRITSCH, op cit., ms.55.
7. IBN KHAZEM, ibid.; E. FRITSCH, op. cit, ms.
64.
8. Ringkasan drpd. AL-QARAFI; E. FRITSCH, op.
cit., ms. 49.
9. Cerita2 yg.sama terdapat dalam versi Pasri
Tustari: "Qisas al-anbija (Sejarah Nabi-nabi)" di dalam
manuskrip bertarikh 1330 TM, dan drpd.Ghalal-addin Rumi:
"Metnewi (Satu Cerita raja Yahudi dan wazirnya, 1273
TM)"; E. FRITSCH, op. cit., ms. 50-65.
10. Bagi penjelasan lebih mendalam mengenai
'text criticism' dan kesimpulan2nya, saya syorkan penulis2
F.G.KENYON:The Text of the Greek Bible, London
1937,1949;L.D.TWILLEY, The Origin and Transmission of the New
Testament,Edinburgh 1957; V.TAYLOR, The Text of the New
Testament, London and New York 1961; J.H.GREENLEE, An
Introduction to New Testament Textual Criticism , Grand Rapids
1964; B.M.METZGER, The Text of the New Testament, Oxford 1968.
11. H. K. MOULTON, Pa pyrus, Parchment and
Print; the story of how the New Testament text has reached us,
London 1967, ms. 9-10, 70-71.
12. A.M. MOSLEY, Historical Reporting in the
Ancient World, New Testament Studies 12 (1965) ms.10-26.
13. Teks Pengisytiharan Penutup bagi Seminar
Tripoli, L'Osservatore Romano (English Edition), Feb. 26, 1976,
ms. 6-7.
14. I. DI MATTEO, loc. cit (nota 5),
AT-TABARI dan AL-GHAKHIZ menyatakan bahawa penterjemahannya
mungkin kurang tepat, tetapi mereka tidak meragui kesahihan teks
bahasa Yunani. Mengenai AL-GHAZZALI pula, lihat F. M. PAREJA, op.
cit, ms. 463.
15. G. PARRINDER, Jesus in the Qur'an ('Isa
di dalam Quran), Faber and Faber, London 1965; Terjemahan
Belanda, Ten Have, Baarn 1978, ms. 124.
16. M. H. ANANIKIAN, `The Reforms and
Religious Ideas of Sir Sayyid Ahmad Khan'. The Moslem World 14
(1934) ms. 61
Homepej-homepej Bahasa Melayu dan Indonesia
Answering Islam Main Site (English)